by Abu Basyer on Thursday, December 9, 2010 at 11:19pm
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah jambatan untuk menuju hari akhirat. Hidup di dunia ini sama ada miskin, kaya, berpangkat, berpelajaran dan tiada kelulusan semuanya adalah ujian Allah s.w.t. Setiap seorang akan ditanya akan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Semakin besar pangkat seseorang atau semakin banyak hartanya di dunia maka semakin besar ordit dan pemeriksaan keatasnya di hari akhirat nanti. Satu persatu akan dihitung dari mana dia peroleh harta itu dan kemana pula dia membelanjakannya. Para pemimpin pula tidak akan terlepas dari soalan adakah beliau merasuah rakyat untuk memilihnya menjadi pemimpin dan setelah berjaya dilantik menjadi pemimpin adakah harta rakyat dipergunakan dengan seadil-adilnya?
Semua soalan-soalan ini perlu kita jawab dahulu di dunia ini sebelum disoal, diordit dan disiasat di Mahkamah Allah s.w.t di hari akhirat nanti. Jika lulus alhamdulillah akan mendapat ganjaran besar dimasukkan ke dalam Syurga tetapi bila gagal maka penyesalan dan ketakutan akan menghantui dirinya dan ketika itu tidak berguna lagi penyesalan.
Sahabat yang dimuliakan,
Sejarah telah membuktikan bahawa pengaruh harta benda dan perniagaan akan melanda sesiapa saja tidak kita sama ada dia orang beriman atau tidak beriman jika tidak berhati-hati di dalam kehidupan ini. Hati dan jiwa tidak boleh terputus untuk beriman kepada Allah s.w.t dan sentiasa mengingati kematian dan hari akhirat.
Contoh Qarun asalnya seorang beriman dan miskin . Dia dilantik oleh Nabi Musa a.s. sebagai pembantunya menulis wahyu daripada Allah s.w.t. Dia diajar dengan ilmu oleh Nabi Musa untuk menukarkan barangan logam biasa menjadi emas. Dengan kekayaan ini Qarun telah gagal untuk membayar zakat dan menjadi penentang pula kepada Nabi Musa a.s. dan cuba memfitnah baginda. Akhirnya dia dibenamkan ke perut bumi dengan hartanya sekali kerana kekufurannya.
Contoh kedua seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama Tsa'labah. Beliau adalah seorang yang miskin. Semasa beliau meskin beliau adalah seorang yang patuh dan sentiasa solat berjemaah bersama Rasulullah s.a.w. Tiap-tiap waktu, sebelum Bilal azan beliau sudah berada di masjid ,dan mengambil saf pertama. Biasanya selepas sahaja salam lantas beliau terus balik ke rumah di sebabkan beliau hanya ada sehelai kain sahaja untuk di gunakan isterinya untuk solat di rumah.
Tsa’labah menceritakan kepada Rasulullah s.a.w kemiskinannya dengan sedih dan hiba dan meminta Rasulullah s.a.w mendoakannya, agar menjadi kaya, supaya dapat dengan tenang mengerjakan ibadah kepada Allah s.w.t. Mulanya Nabi s.a.w menasihatkannya agar jangan menjadi kaya takut beliau tidak dapat menguasai hartanya dan menguasai nafsunya. Oleh kerana berkali-kali di desak oleh Tsa’labah, Nabi s.a.w pun mendoakannya untuk menjadi kaya seperti yang di minta dan memberikannya sepasang kambing sebagai modal.
Dengan menerima kambing itu, di jaganya bersungguh-sungguh dengan takdir Allah, kambing yang di peliharanya menjadi dan berkembang biak. Oleh kerana kambingnya telah membiak dengan banyaknya Tsa’labah mengembala di luar Madinah. Dengan kesibukannya mulalah beliau tidak datang solat berjemaah bersama-sama Rasulullah s.a.w, hinggakan solat Jumaat pun beliau meninggalkannya. Tsa’labah sudah lupa daratan, lupa janjinya kepada Rasulullah s.a.w untuk terus istiqamah dengan Islam bila menjadi kaya raya.
Apabila arahan dari Nabi s.a.w untuk membayar zakat Tsa’labah berkata kepada wakil Nabi s.a.w katanya :“Apa kata kamu? Aku mesti mengeluarkan zakat ternakanku? Dan hendak di berikan kepada orang miskin yang malas bekerja itu? Bagus betul cara kamu ni. Begitu susah dan sakitnya aku memelihara dan menggembala kambingku ini, di suruh pula memberikan sebahagiannya kepada pemalas-pemalas itu. Aku tidak akan mengeluarkannya walau setengah ekor pun”
Dengan keenganan beliau membayar zakat, Nabi s.a.w memutuskan tidak akan menerima zakat Tsa'labah samapi bila-bila. Dizaman Sayyidaina Abu Bakar dan Sayyidina Umar beliau minta hendak membayar zakat ternakannya tetapi ditolak oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
Akhirnya bala Allah turun. Dengan takdir Allah , penyakit datang kepada kambing-kambing Tsa’labah, bermula 5 dan 6 ekornya mati .Bertambah sedih Tsa’labah atas kematian kambing-kambingnya dan beliau mengutuki Allah dan mengatakan Allah tidak adil kepadanya.Akhirnya beliau sendiri di timpa penyakit dan mati dalam keadaan murtad dan menolak hukum Allah s.w.t.
Berdasarkan dua kisah di atas dapatlah kita menggambil pengajaran bahawa segala ajaran Islam yang di fardukan oleh Allah s.w.t kepada kita perlulah di laksanakan dengan sempurna tanpa syarat.
Islam adalah satu cara hidup yang sempurna yang merangkumi semua bidang kehidupan manusia. Islam meminta kita menjaga hubungan dengan Allah s.w.t di dalam ibadah khusus dan menjaga hubungan sesama manusia.
Kisah-kisah di atas adalah sebahagian dari kisah-kisah lain yang telah terbukti berlaku balasannya di dunia lagi. Bayangkan betapa azabnya mereka-mereka yang ingkar suruhan Allah s.wt ini akan mendapat balasan dari Allah s.w.t. semasa di alam barzakh dan hari akhirat nanti.
Sahabat yang dikasihi,
Orang-orang yang beriman tidak akan memikirkan hanya dirinya dan ahli keluarganya sahaja untuk terselamat dan bebas dari azab Allah. Tetapi dia juga memikirkan bagaimana dia hendak berusaha supaya umat Islam yang lain terselamat juga dari menerima azab Allah s.w.t. Oleh itu dia tidak boleh berdiam diri, dia mesti dan wajib menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah.
Orang-orang Mukmin akan merasai bahawa tanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran Islam, membaiki akhlak mereka dan mengerakkan mereka yang sedang tidur lena dengan mimpi-mimpi indah yang melekakan, supaya bangun bersama-sama untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab kepada Allah s.w.t. Kemajuan teknologi sekarang ini cukup melekakan semuanya di hujung jari. Di dalam internet sahaja terdapat 1001 macam kebaikan dan keburukan. Gunakanlah kemudahan dan kebaikan ini untuk menyampaikan dakwah.
No comments:
Post a Comment