Ain...Amiraa...Adam..

Ain...Amiraa...Adam..
selamanya~

Thursday, December 2, 2010

HIKMAH KENAPA ALLAH TEMUKAN KITA DENGAN INSAN YANG SALAH


♥ kenape ALLAH temukan kita dengan org y salah ♥


Memang sakit bila cinta yg kita dambakan selama ini tak dihargai oleh insan yg bernama kekasih,apatah lagi kita dibuang begitu saja... tapi,itulah juga petanda terbaik untuk diri dan kehidupan kita pada masa akan datang.


1. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya apabila kita bertemu jodoh yg sebenar,masih ada rasa syukur kita pada ketentuanNYA.


2. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik.


3. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.


4. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.


5. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...


6. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.


7. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.


8. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.


9. memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL.


Wahai sahabat yg kecewa,menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya.

Hari esok pun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhanNYA, dan meninggalkan laranganNYA..

PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hambaNYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepadaNYA..

~ALLAH knows BESt~

10 PETANDA DIA JODOH KITA.......

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)


Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.


1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.


2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.


3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.


4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.


5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.


6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?


7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.


8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.


9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.


10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Aku hanya wanita biasa


Kepadamu yang akan menjadi pendampingku kelak..Terima kasih kerana telah memilihku di antara ribuan bidadari di luar sana yang siap untuk kamu pilih.. Padahal kamu begitu tahu, aku hanya wanita biasa, yang sangat jauh dari sempurna.Kerananya ku ingin kamu tahu, aku bukan wanita yang sempurna, aku begitu banyak kekurangan. Maka ketahuilah..

Kepadamu yang akan memilihku kelak..


Aku tak sebijak Siti khadijah, kerananya ku ingin kamu tahu, aku akan saja berbuat salah dan begitu menyedihkan. Maka ku mohon padamu, bijaklah dalam menghadapiku, jangan marah padaku, nasihati aku dengan hikmah, kerana bagiku kamulah pemimpinku, tak akan berani ku membangkang padamu..


Duhai kau yang telah memilihku kelak.. Ingatlah, tak selamanya aku akn cantik di matamu, ada kalanya aku akan begitu kusam dan hodoh. Mungkin kerana aku begitu sibuk di dapur, menyiapkan makan untuk kamu dan anak-anak kita nanti –Insya’Allah-. Maka aku akan tampak kotor dan berbau asap. Atau kerana seharian ku harus meguruskan istana kecil kita, agar kamu dan anak kita dapat tinggal dengan nyaman dan damai. Maka mungkin aku tak sempat berdandan untuk menyambutmu sepulang bekerja.. Ataukah kamu akan menemukanku tersengguk-sengguk saat mendengar keluhan dan ceritamu, bukan kerana aku tak suka menjadi tempatmu menumpahkan segala rasamu, tapi karena semalam saat kau tertidur dengan nyenyak, aku tak sedetikpun tertidur karena harus menjaga anak kecil kita yang sedangsakit, dan ku tau kamu letih mencari rezeki untuk kami maka tak ingin ku mengusik sedikit pun lelapmu.. Jadi jika esok pagi kau mendapatiku begitu letih dan ada lingkaran hitam di mataku, maka tetaplah tersenyum padaku, kerana kau adalah kekuatanku..


Padamu yang menjadi nahkoda dalam hidupku kelak..

Ketahuilah, aku tak sesabar Fatimah, ada kalanya kau akan menemukanku begitu marah, menangis , bukan kerana ku membangkang padamu, tapi aku hanya wanita biasa, aku juga perlu tempat untuk menumpahkan beban di hatiku, tempat untuk melepaskan penatku, dan mungkin saat itu aku tak menemukanmu, atau kau begitu sibuk dengan pekerjaanmu, maka bersabarlah, yang ku perlukan hanya pelukan dan belaianmu.. Kerana bagiku kau adalah titisan embun yang mampu memadamkan segala resahku..


Ataukah ada kalanya tanganku akan mencubit dan memukul penuh kasih sayang si kecil kerana lelah dan penatku di tambh rengekannya yang tak habis-habisnya. Sungguh bukan kerana ku ingin menyakitinya, tapi kadang aku kehabisan cara untuk menenangkan hatinya. Maka jangan memarahiku kerana telah menyakiti buah hati kita, tapi cukup kau usap kepalaku, dan bisikkan kata sayang di telingaku, kerana dengan itu ku tau kamu selalu menghargai semua yang ku lakukan untuk kalian, dan kamu akan menemukanku menangis menyesali perlakuanku pada anak kita, dan aku akan merasakan ribuan kali rasa sakit dari cubitan yang ku berikan padanya, dan aku akan berjanji tak akan mengulanginya lagi..


Padamu yang menjadi imam dalam hidupku kelak..

Ketahuilah, aku tak secerdas Aisyah.. Maka jangan pernah bosan mengajariku, membimbingku ke arah-Nya, walau kadang aku begitu bebal dan bodoh, tapi jangan pernah letih mengajariku.. Jangan segan membangunkanku di sepertiga malam untuk bersamamu bermunajat pada Kekasih yang Maha Kasih.. Jangan letih mengingatkanku untuk terus bersamamu mendulang pahala dalam amalan-amalan sunnah.. Bimbing tanganku ke JannahNya, agar kamu dan aku tetap bersatu di dalamnya.


Padamu yang menjadi kekasih hati dan teman dalam hidupku..

Seiring berjalannya waktu, kamu akan menemukan rambutku yang dulu hitam legam dan indah, akan menipis dan memutih. Kulitku yang bersih akan mulai kereput. Tanganku yang halus akan menjadi kasar.. Dan kau tak akan menemukanku sebagai wanita cantik, yang kau khitbah puluhan tahun yang lalu.. Bukan wanita muda yang selalu menyenangkan matamu.. Maka jangan pernah berpaling dariku.. Karena satu yang tak pernah berubah, bahkan sejak dulu akan terus bertambah dan kian bertambah, iaitu rasa cintaku padamu..


Ketahuilah.. Tiap harinya, tiap jam, minit dan detiknya, telah aku lewati dengan selalu jatuh cinta padamu..Maka, cintailah aku, dengan apa adanya aku.. Jangan berharap aku menjadi wanita sempurna.. Maafkan aku kerana aku bukan puteri.. Aku hanya wanita biasa..

kasih ibu...


by Haslinda Alias on Saturday, November 6, 2010 at 8:45pm

CERITA DARI SEORANG SAHABAT..

Semalam, saya menerima 1 lagi cerita @ kisah benar yang betul-betul membuatkan air mata saya meleleh keluar.

Saya menangis mungkin sebab membayangkan penulis adalah diri saya. Saya baca kisah ini sambil mengenangkan ibu saya yang disahkan menghidap kanser baru-baru ini. Aduhh…memang betul-betul membuatkan hati saya begitu tersentuh dan tak keruan…

Bacalah kisah di bawah ini dengan penuh penghayatan…


Kalau nak kira, mak aku la harta yang paling mahal, paling berharga. Tak de nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan mak aku. Dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. Cukup memahami. Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu. Prnah kami kena ‘pelangkung’ dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. Sejak hari tu aku dah ‘kurang’ sikit dengan abah. Apa-apa masalah aku mengadu dengan mak. Mak laa tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat keja sekolah, mintak duit belanja. Kena buli dengan kawan, semuanya mengadu dengan mak. Dengan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani.


Abah pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah dia pergi ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat terkadang tidur di pangkin bawah pokok rambutan tepi rumah. Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena. Masa tu terkadang aku rasa mengapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus. Tapi mungkin jugak abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami, kami dulu orang susah. Abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa. Untuk tampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, mak buat nasik lemak dan kuih tepung bungkus.


Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasi. Pagi-pagi lepas hantar kitorang pergi sekolah, abah singgah letak nasik lemak dengan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasik lemak sebungkus abah jual 30 sen, kuih tepung bungkus 15 sen. Kadang-kadang tu aku bawak jugak 2,3 bungkus nasik lemak jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu. Aku dapat duk dengan mak sampai tingkatan 3, pastu aku masuk asrama vokasional Temerloh. Tapi tiap-tiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak. Keras tekak aku asyik makan nasik kawah, ikan jeket dengan sawi balak jer kat asrama. Petang jumaat balik kampung sampai rumah, terus cari nasik .


Mak, setiap jumaat dia dah tau, dia akan goreng ikan pelaling (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh dengan kacang botol, sambal belacan lada besar. Tu je favourite aku, ada set tu. Mamang makan tak ingat punya. Kadang-kadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3,4 kali ulang makan nasik.


Duduk asrama 2 tahun, lepas SPM aku kerja sementara di Tekam Resort. Nama je resort sebenarnya. Aku kerja dalam ladang jugak, kerja banci pokok. Gaji masa tu RM400. Tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambik gaji tu seronok bukan main. Macam-macam dah plan nak beli barang. Benda yang paling aku teringin masa tu, pancing bermesin (bukan manual). Dapat jer duit, terus pergi pekan beli. Aku ingat lagi, harga pancing tu RM75 satu set.

Balik rumah, petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak. Bayar balik duit minyak motor yang aku mintak kat dia setiap hari untuk pergi kerja. Menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata “ni bukan duit minyak moto, ni duit kerja anak mak, alhamdullillah dapat dah mak merasa duit anak-anak”.

Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran pergi UiTM (masa tu masih ITM) Shah Alam, jurusan elektrik untuk panggilan pertama. Masa tu, aku baru balik kerja, siap mandi, pastu makan. Mak masak sedap tengah hari tu. Tengah makan, mak cakap “haa…. makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni lagi”. Aik…aku tanya mengapa pulak. Mak kata ada surat kat depan ry. Dan-dan tu aku pergi ambik baca. Melompat aku masa tu. Aku tunjuk kat mak. Dia kata dia dah baca tadi. Berair mata mak masa tu, kata dia… “lepas dah anak mak 2 orang. Tinggal 2 lagi tu, tak tau macam mana.”


Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu, abang sulung aku yang tanggung. Masa tu dia di jepun study dan buat kerja part time jadi DJ. Masa aku tingkatan 4, mak bersalin adik perempuan. Kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik semuanya lelaki. Abah la orang paling gembira. Dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu. Sesekali aku balik, aku tengok abah yang mengasuh adik, lebih dari mak. Syukur pada Allah, harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.


Namun, setahun selepas adik lahir, mak jatuh sakit. Tapi tak de la teruk sangat, cuma setakat pergi klinik jer. Lepas sebulan lebih, sakit mak tak sembuh-sembuh. Abah bawak mak pergi ke Hospital pakar kat hospital Mentakab. Diorang ambik sample darah. Lepas seminggu, diorang panggil pergi hospital semula, dah dapat keputusan.


Ya Allah, ujian telah menimpa kami semua. Mak disahkan kena barah payu dara. Doktor kata, untuk selamat, mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan. Bermula dari hari tu, kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah. Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate.


Mak setiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risaukan adik perempuan yang masih kecik. Apa nasib adik bila dia dah takde nanti. Aku cukup tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. “Mie… nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu jer. Mie…. kain batik mak ada 3 helai yang baru dalam almari, nanti orang datang, bukak ambik”. Air mata memang tak boleh tahan.

Sampai masa, mak terpaksa operate jugak. Doktor kata kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru. Masa tu aku ambik cuti seminggu, tangguh dulu pelajaran aku. Aku balik kampung, kena jaga adik. Lepas operate, mak dah mula jadi lemah. Kesian sangat aku tengok, doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak terlampau lemah.


Lepas 2 minggu mak kat hospital. Dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat umah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang. Mak boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa. Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu, mak pengsan tiba-tiba. Abah bawak pergi hospital Jengka. Bermula hari tu…keadaan mak makin hari , makin teruk. Seminggu mak ditahan di hospital.


Kemudian, doktor bagi balik, keadaan mak dah elok sikit, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu. Kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duduk kat rumah, pastu abah terpakasa bawak mak pergi hospital semula, sebab keadaan mak dah terlalu lemah, mata tak boleh bukak, dah tak boleh bercakap, mak tak makan sejak balik ke rumah. Masuk jer makanan, mak akan terus muntah.

Doktor kata, penyakit mak dah teruk. Kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan. Selama di hospital, mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya hati aku tengok muka mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap. Tapi masa tu mak masih boleh bercakap. Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit. Dia tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam takde apa-apa, boleh buat lawak dan gelak-gelak lagi. Walhal aku tahu yang dia menanggung sakit yang teramat sangat. Doktor ada terangkan pada kami adik beradik, macam mana nak jaga orang sakit kanser. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan. Penglihatan akan kabur. Di sebabkan paru-paru mak dah rosak, bila dia bernafas dia akan rasa sakit. Seksanya aku tengok mak. Tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik. Semakin hari, keadaan mak semakin teruk. Aku ambik keputusan untuk cuti satu semester. Abang aku yang di jepun pun balik.


Hati mak dah mula membengkak. Perut dia buncit macam di pam-pam. Berkilat dan boleh nampak urat. Mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap. Dan masa tu juga, pemikiran mak dah menjadi tak berapa normal. Dia dah tak kenal dah orang yg pergi melawat dia, kecuali hanya anak-anak dia. Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa. Mak kata ada habuk penuh atas kepala aku, jadi dia nak sapu buang. Masa tu jugak merambu keluar air mata aku. Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia. Dah hampir 3 bulan mak di hospital Jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana. Semua nurse dan doktor kami kenal.


Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya. Walaupun kami lelaki, jururawat kat situ dah tak kesah. Pada mulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Tapi kami jumpa doktor dan ketua nurse, , mintak kebenaran sebab kami takde adik-beradik perempuan (kecuali adik). Lagipun mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada orang urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa mak sementara hayatnya masih ada.


Akhirnya, kami bawak mak balik ke rumah. Sebab mak kata dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia dan suami dia. Kami mintak dengan doktor, dan doktor benarkan. Doktor kata, memang mak dah takde harapan. Bila mak sampai rumah, suatu keajaban berlaku. Mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. Cuma mata dia jer masih kelabu. Dia makan, kami bagi semua makanan yang dia suka. Apa yang dia sebut, kami cari. Kami ambik semua baju baru mak, kami pakaikan pada dia. Mak sembang dengan semua orang, mintak maaf dengan semua. Mak terpaksa baring mengiring, sebab perut dia semakin membesar.

Lebih kurang seminggu mak kat rumah. Mak nazak. Hari tu pagi sabtu. Nafas mak tersekat-sekat. Masa tu mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru boleh dengar. Tengah hari tu, kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu. Seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat.


Kami sekeluarga berbincang. Tanya pendapat orang tua, dan melihat kepada tanda-tandanya, hari ni mungkin sampailah masa tamatnya penderitaan mak setelah sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan abah pergi pada mak. Kami mintak ampun, mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, mintak halal makan minum kami, mintak halal air susu yang kami minum.


“Mak… emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa emie pada mak, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Emie mintak halal makan minum emie selama ni, emie mintak halal air susu yang emie minum.” Banyak lagi aku nak sebut pada mak, tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. Kami kucup dahi mak, kami cium kaki mak. Air mata mak mengalir. Kami letak adik tepi mak. Bagi mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata mak mengalir setiap kali bila tengok adik. Kesian adik, lepas ni dia dah tak dapat jumpa mak. Tak dapat merasa kasih sayang mak lagi. Mak bisikkan sesuatu pada abah. Air mata abah mengalir. Nilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi mak. Kemudian, dengan amat terpaksa kami terlentangkan mak. Aku terpaksa, kami terpaksa. Kami sayangkan mak. Tak nak mak terseksa lagi. Tak lama, mak sesak nafas, abah ajar mak mengucap. Allahhuakbar, aku saksikan sendiri, betapa seksanya menuju kematian…betapa teruknya sakaratul maut. Inilah yang dinamakan ‘mabuk kematian’. Amat dahsyat dan menyakitkan… Tengok saja pun dah tak tahan. Apatah lagi yang merasainya.

Akhirnya….“Innalillahiwainna ilaihiroo-jiun….. ”

Ibu tercinta pergi buat selamanya………

Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini….. linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.


INGAT!!! IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI. JIKA DAH TIADA, MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU. KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG, AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU ANDA, MINTAK AMPUN PADANYA. GEMBIRAKAN DIA.


~Sekian, semoga kita semua dapat benar-benar menghargai ibu kita. Hiburkan hati ibu, gembira kan mereka selagi mereka masih hidup. Berusahalah untuk menjadi anak yang soleh atau solehah yang dapat membuatkan mereka berbangga memiliki anak seperti kita..~


Wednesday, December 1, 2010

Bagaimana Bercouple Cara Islam?



Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.

Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.

Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

Masyarakat Sudah Lari

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.

Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.

Konsep Meminang

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.

Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.

Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?

Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.